
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal, anak yatim dan pelajar Ilham Seni Diraja di Istana Negara, malam ini.
- Raja Permaisuri Agong berkenan santuni ibu tunggal dan anak yatim di Istana Negara sempena majlis berbuka puasa.
- Seri Paduka Baginda mengurniakan sumbangan melalui yayasan kepada 100 ibu tunggal dan 100 anak yatim.
- Baginda juga menyampaikan sumbangan kepada 200 peserta Ilham Seni Diraja dan hadir tazkirah Ramadan.
Majlis yang diadakan di Dewan Santapan Utama itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor kepada 100 orang ibu tunggal dan 100 orang anak yatim dari Kompleks Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Selain itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 200 peserta Ilham Seni Diraja.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke program tazkirah Ramadan bertajuk Qanaah, Syukur dan Takwa serta menunaikan solat magrib berjemaah di Surau Utama Istana Negara yang diimamkan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.