Dua maut kemalangan di Jasin

FOTO IPD JASIN

JASIN, 27 Februari – Dua maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Bezza dan Proton Wira di Jalan Serkam-Bemban di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua mangsa disahkan meninggal dunia selepas kemalangan melibatkan Perodua Bezza dan Proton Wira di Jalan Serkam-Bemban.
  • Kereta Bezza dipercayai masuk ke laluan bertentangan menyebabkan pertembungan dengan Proton Wira.
  • Pemeriksaan lanjut termasuk bedah siasat dijalankan, manakala dua lagi penumpang mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.50 petang.

“Seorang lelaki berusia 33 tahun yang memandu Perodua Bezza maut di tempat kejadian manakala wanita 74 tahun, iaitu penumpang Proton Wira disahkan meninggal dunia di Hospital Jasin pada 9.30 malam,” katanya.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza dari arah Bemban ke Serkam masuk ke laluan bertentangan mengakibatkan pemandu Proton Wira tidak dapat mengelak.

Kemalangan juga menyebabkan pemandu Proton Wira, iaitu lelaki berusia 44 tahun cedera pada tangan dan badan manakala adiknya yang berusia 40 tahun cedera pada bahagian dada.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa akan dilakukan hari ini. – BERNAMA