
KUALA LUMPUR, 26 Februari– Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohamad Azizulhasni Awang akan terus menjadi sandaran negara bagi menghadapi dua siri Piala Dunia, Sukan Komanwel 2026 di Glasgow serta Sukan Asia di Aichi Nagoya, Jepun.
- Presiden PKBM sayangkan khidmat Azizulhasni untuk misi kejutkan pingat emas antarabangsa.
- Azizul bertanding sebagai atlet profesional dan akan terus bersama skuad kebangsaan hingga Sukan Asia.
- Prestasi di Sukan Asia tentukan kelayakan beliau ke Kejohanan Dunia Trek di Shanghai.
- Piala Dunia Trek, Piala Dunia siri lain dan Sukan Komanwel jadi fokus persiapan dan penilaian.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata khidmat atlet yang digelar The Pocket Rocketman itu masih diperlukan dalam misi memburu pingat emas di peringkat antarabangsa.
“Beliau kini bertanding sebagai atlet profesional, namun telah memaklumkan kepada PKBM untuk meneruskan saingan hingga Sukan Asia. Justeru, penglibatannya bersama skuad kebangsaan hingga Sukan Asia terjamin. Penyertaan dalam kejohanan selepas itu masih belum dapat dipastikan.”
“Beliau membuat persiapan sendiri sebagai pelumba bebas. Beliau seorang atlet matang yang memahami apa yang dipertaruhkan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 2026 di Majlis Sukan Negara di ibu negara.
Menurut beliau, pencapaian atlet berusia 38 tahun itu pada temasya Sukan Asia nanti akan menjadi penentu kelayakannya untuk beraksi di Kejohanan Dunia Trek yang dijadual berlangsung di Shanghai, China pada Oktober depan.
Piala Dunia Trek dijadual membuka tirai di Perth, Australia dari 6 hingga 8 Mac, sebelum diteruskan di Velodrom Nasional Nilai pada 24 hingga 26 April.
Sukan Komanwel 2026 akan berlangsung di Glasgow dari 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Sukan Asia dijadualkan berlangsung di Aichi Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober.