
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh usaha meningkatkan literasi demokrasi dalam kalangan belia menerusi pelancaran Bulan Rakan Demokrasi 2026 bersama inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM), dalam usaha melahirkan generasi pengundi muda yang matang, berinformasi dan bertanggungjawab.
- Pendidikan demokrasi menyeluruh diperlukan agar pengundi muda membuat pilihan berdasarkan fakta bukan emosi atau retorik politik.
- Program Kuasa Orang Muda diperluas ke seluruh negara melalui jelajah pendidikan, aktiviti komuniti, reruai interaktif dan pendekatan turun padang ke kampus serta luar bandar.
- Bulan Rakan Demokrasi pada Ogos menggalakkan penyertaan aktif belia dan kemuncak di KLCC menggabungkan pendedahan tadbir urus dengan peluang pembangunan kerjaya.
- Kemerdekaan juga bermakna kebebasan berfikir, kebijaksanaan menilai maklumat dan menolak anasir meretakkan perpaduan demi masa depan negara.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pelaksanaan Undi18 bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan muda, sebaliknya perlu disusuli dengan pendidikan demokrasi yang menyeluruh agar mereka memahami tanggungjawab sebagai warganegara serta mampu membuat pilihan berdasarkan fakta, bukannya emosi atau retorik politik.
“Setiap undi yang diberikan bukan sekadar menentukan pemimpin, malah mencorakkan hala tuju negara dari aspek ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian masyarakat untuk tempoh lima tahun akan datang,”katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Rakan Demokrasi menerusi inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM) di sini hari ini.
Sehubungan itu, program Kuasa Orang Muda yang dilaksanakan oleh IMPACT Integrated akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi siri jelajah pendidikan, aktiviti komuniti, reruai interaktif dan pendekatan turun padang ke institusi pengajian tinggi, sekolah serta kawasan luar bandar bagi meningkatkan kefahaman mengenai sistem demokrasi negara.
Inisiatif itu turut diselaraskan dengan agenda Rakan Muda, yang menetapkan bulan Ogos sebagai Bulan Rakan Demokrasi, bagi menggalakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan negara serta memperkukuh amalan demokrasi dalam kalangan rakyat.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 22 dan 23 Ogos di KLCC menerusi program Kuasa Orang Muda x Mega Careers & Study Fair (MCASF) 2026, yang menggabungkan peluang pembangunan kerjaya dengan pendedahan mengenai tadbir urus negara dan hak demokrasi.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq menegaskan erti kemerdekaan bukan hanya terbatas kepada bebas daripada penjajahan, tetapi turut merangkumi kebebasan berfikir, kebijaksanaan menilai maklumat serta keupayaan menolak anasir yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.
Katanya, masa depan negara bergantung kepada penglibatan rakyat, khususnya generasi muda yang akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju Malaysia menerusi penyertaan aktif dan keputusan yang dibuat secara bertanggungjawab dalam sistem demokrasi.