
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kepekaan sosial dalam kehidupan seharian menjadi asas penting dalam membentuk perpaduan dan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
- Amalan menghormati giliran, memberi tempat duduk kepada warga emas, ibu mengandung dan OKU serta bertolak ansur memupuk budaya saling menghormati.
- Tindakan kecil yang konsisten membentuk asas ikatan sosial dan meningkatkan rasa selamat serta dihargai dalam masyarakat.
- Perpaduan bermula dengan kesedaran individu; sempena Bulan Kebangsaan amalkan sikap prihatin, saling menghormati dan rasa kekitaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Dr. Raja Mayang Delima Mohd Beta berpandangan, amalan menghormati giliran, memberi tempat duduk kepada warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU) serta bertolak ansur mampu memupuk budaya saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan kecil yang konsisten akan menjadi asas kepada ikatan sosial yang mengukuhkan ketenteraman masyarakat dalam sesebuah peradaban. Tanpa kita sedar, tindakan kecil ini mencerminkan keharmonian, membuatkan masyarakat berasa selamat dan dihargai.
“Perpaduan yang kukuh bukan sekadar diterjemahkan melalui simbol atau lafaz ikrar, sebaliknya bermula dengan kesedaran setiap individu untuk bertolak ansur dalam setiap lapisan kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Sempena Bulan Kebangsaan, beliau juga menggesa rakyat Malaysia mengamalkan sikap prihatin, saling menghormati dan menganggap seluruh rakyat sebagai sebuah keluarga besar demi memperkukuh semangat kekitaan serta perpaduan negara.