150 minyak masak peket ditinggalkan di tebing Sungai Golok

Antara 150 paket minyak masak disyaki cuba diseludup ke Thailand yang dirampas PGA di Pasir Mas/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 7 Ogos – Sebanyak 150 minyak masak peket bersubsidi ditemukan di tebing Sungai Golok, Kampung Jeram Perdah, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan dibuat oleh anggota PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
  • Anggota menemui beberapa plastik biru ditinggalkan di tepi tebing semasa pemeriksaan di pengkalan haram.
  • Rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan; tiada tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dibuat anggota PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 5 petang.

Menurutnya, anggota yang melakukan pemeriksaan di Pengkalan Haram Jeram Perdah 2 menemukan beberapa plastik berwarna biru ditinggalkan di tepi tebing sungai.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 150 peket minyak masak dengan berat keseluruhan 150 kilogram yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui laluan tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM375 dan tiada tangkapan dibuat.

Rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.