Terjerat FOMO dunia permotoran: Keterujaan atasi pertimbangan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Keghairahan untuk berkongsi apa sahaja di media sosial, antara faktor yang mendorong para peserta menyertai perhimpunan permotoran baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta akui FOMO bila melihat rakan kongsi pengalaman di media sosial, lalu sertai perhimpunan untuk merasai pengalaman sama.
  • Pengalaman nyata menimbulkan kesedaran keselamatan; ramai memilih program lebih terkawal dan selamat berbanding perhimpunan besar.
  • Pakar nasihat nilai risiko, jangan jadikan tontonan dan tanda suka ukuran kejayaan; utamakan keselamatan, keluarga dan undang-undang.

Keinginan itu bukan semata-mata didorong minat terhadap dunia permotoran, malah turut dipengaruhi perkongsian pengalaman oleh rakan-rakan di media sosial.

Situasi ini diakui beberapa peserta yang menyatakan budaya takut ketinggalan atau Fear of Missing Out (FOMO) menguasai tindakan mereka.

Salah seorang peserta, Muhamad Khairol Zainal Abidin berkata apabila melihat rakannya berkongsi pengalaman mengenai sesuatu aktiviti, justeru timbul perasaan seolah-olah rugi jika tidak turut serta.

“Apabila tengok semua orang kongsi pengalaman mereka, kita pun tidak mahu terlepas perkara itu kerana ramai orang muat naik video dan foto. Walaupun asalnya sebab minat, media sosial memang sedikit sebanyak bagi semangat untuk saya sertai aktiviti berkenaan,” jelas Muhamad Khairol yang ditemui RTM.

Seorang lagi peserta perhimpunan permotoran baru-baru ini, Muhamad Ismail Mohamed Ibrahim juga tidak menafikan apabila melihat aktiviti perkumpulan di media sosial, hantaran foto dan video berkaitan, beliau teruja untuk merasai pengalaman sama.

“Jujurnya, memang ada FOMO sikit apabila tengok kawan-kawan semua berkumpul, berkongsi gambar atau video, kita rasa macam telah tertinggal pengalaman yang orang lain dapat,” ujarnya lagi.

Lain pula bagi seorang lagi peserta, Muhammad Faiz Mohammad Azman.

Beliau berkata, pengalaman pernah menyertai perhimpunan itu memberi perspektif baharu mengenai kepentingan mengutamakan keselamatan berbanding keinginan untuk mengikuti trend semasa.

“Untuk tahun depan, saya rasa saya akan fikir dua kali untuk sertainya. Sebelum ini saya ingat kalau bawa motor tu elok-elok, kita boleh jaga diri, tetapi apabila melibatkan ribuan orang, pelbagai perkara boleh berlaku. Saya tetap minat motosikal, tetapi mungkin saya akan pilih program yang lebih terkawal dan selamat,” tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Media Sosial Pejabat Komunikasi Strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Zairul Masron mendedahkan ada kalanya keterujaan menyertai sesuatu aktiviti mengatasi pertimbangan rasional.

Beliau berkata, individu yang FOMO merasakan jika gagal menyertai sesuatu aktiviti yang tular, mereka akan diselubungi kekesalan.

“Jadi apabila video konvoi motosikal tular, apatah lagi melibatkan perhimpunan besar atau aksi yang mendapat ribuan tontonan dan pujian dimuat naik, ia mewujudkan persepsi bahawa penyertaan dalam program tersebut ialah satu trend yang perlu diikuti,”katanya.

Tegasnya, setiap individu perlu menilai tahap risiko dan mengutamakan keselamatan sebelum membuat keputusan untuk menyertai sebarang aktiviti yang tular di media sosial.

“Jangan jadikan jumlah tontonan, tanda suka dan populariti sebagai ukuran kejayaan kerana nilai sebenar ialah keselamatan diri, tanggungjawab kepada keluarga dan kepatuhan terhadap undang-undang,” jelas beliau.

Justeru beliau berharap semua pihak perlu memainkan peranan, bahawa budaya FOMO jika tidak dikawal mampu membinasakan.

“Seharusnya pembinaan masyarakat digital seiring dengan tindakan yang lebih matang,bertanggungjawab dan selamat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.