Lima sekeluarga maut kebakaran rumah di Raub

Foto JBPM Pahang

RAUB, 26 Februari – Lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini, awal pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat.
  • Seluruh struktur rumah musnah 100 peratus; tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar.
  • Operasi pemadaman melibatkan anggota BBP Raub dan bantuan BBP Lipis, kawalan selesai dalam 33 minit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya telah tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.48 pagi tadi.

Kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi itu melibatkan sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Raub, dengan bantuan lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis.

Mayat kesemua mangsa akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.