
KUALA LUMPUR, 25 Februari- Malaysia terus memberi perhatian terhadap cabaran beban berganda malpemakanan apabila 54.4 peratus dewasa berumur 18 tahun ke atas dikenal pasti mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
- 54.4 peratus dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, menunjukkan beban berganda malpemakanan.
- Tahap NCD tinggi: hipertensi 29.2%, kolesterol tinggi 33.3%, diabetes 15.6% memerlukan tindakan berterusan.
- Lebih setengah juta dewasa hidap empat NCD serentak; hampir 2.3 juta hidap tiga NCD, menekan sistem kesihatan.
- Jawatankuasa syorkan 10 langkah strategik termasuk pengukuhan dasar pemakanan, cukai minuman bergula dan kempen diet nasional.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Kesihatan, Suhaizan Kaiat berkata dapatan itu turut menunjukkan 29.2 peratus dewasa menghidap hipertensi, 33.3 peratus mempunyai kolesterol tinggi dan 15.6 peratus menghidap diabetes, mencerminkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang memerlukan perhatian berterusan.
Menurut beliau, lebih setengah juta dewasa dikenal pasti hidup dengan empat NCD serentak manakala hampir 2.3 juta lagi menghidap tiga NCD sekali gus, yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.
“Ia bukan sekadar soal pilihan individu atau selera peribadi, sebaliknya menjadi asas kepada kesihatan negara, produktiviti, ekonomi dan masa depan generasi Malaysia.
“Reformasi pemakanan memerlukan keberanian dasar serta komitmen berterusan.
Jika gagal menangani beban berganda malpemakanan, termasuk peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti, negara akan mewariskan sistem kesihatan yang terbeban serta potensi generasi masa depan yang terjejas.” katanya ketika membentangkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan mengenai Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, jelas Suhaizan, Jawatankuasa Pilihan Kesihatan mengemukakan 10 syor strategik termasuk memperkukuh Dasar Pemakanan Kebangsaan, memperkasa cukai minuman bergula serta memperluas saringan dan pengurusan penyakit berkaitan pemakanan.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan kempen revolusi diet nasional serta penggalakan gaya hidup aktif sebagai langkah pencegahan obesiti, selain menekankan isu bantut dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat.