Beri peluang, bukan hukuman ‘penjara kedua’.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin/Foto BERNAMA

MANTIN, 25 Februari – Masyarakat diseru menghentikan hukuman sosial terhadap Orang Diselia (ODS), dan sebaliknya memberi peluang kedua kepada mereka selepas selesai menjalani hukuman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hentikan hukuman sosial terhadap Orang Diselia; beri peluang kedua selepas mereka selesai menjalani hukuman.
  • Penerimaan semula oleh masyarakat penting untuk memastikan pemulihan menyeluruh dan menyelamatkan masa depan mereka.
  • Program TVET, tahfiz, dan kerohanian di PRP Mantin mempersiapkan ODS untuk pengasimilasian lebih pantas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerimaan semula oleh masyarakat penting bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar serta mampu menyelamatkan masa depan anak mereka.

Menurut beliau, individu yang dibebaskan tidak seharusnya berdepan “penjara kedua” akibat pandangan sinis dan kata-kata nista.

“Kita mahu beralih daripada pendekatan menghukum semata-mata kepada pemulihan secara menyeluruh.

“Mereka yang layak perlu diberi peluang menjalani pemulihan pemulihan dalam komuniti agar proses asimilasi lebih pantas dan berkesan.

“Kita tidak akan berjaya tanpa sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, pada Selasa.

Seramai 500 ODS di pusat berkenaan mengikuti program tahfiz dan kerohanian, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kulinari serta industri hiliran sebagai persediaan kembali ke pangkuan masyarakat.