Guadalajara lengang selepas kematian ‘El Mencho’, 30 suspek geng terbunuh

Foto REUTERS

GUADALAJARA, 24 Februari– Jalan-jalan di Guadalajara, Mexico dilaporkan lengang pada Isnin susulan rusuhan ganas yang tercetus selepas kematian Nemesio Oseguera atau dikenali sebagai “El Mencho”, ketua Jalisco New Generation Cartel (CJNG) dalam operasi ketenteraan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jalan di Guadalajara lengang selepas rusuhan ganas susulan kematian ketua CJNG, "El Mencho".
  • Kira-kira 30 suspek geng, 25 anggota Pengawal Kebangsaan dan seorang awam maut dalam keganasan susulan.
  • Sekolah ditutup, sekatan jalan raya dan penangkapan dilakukan; kerajaan lapor keadaan dijangka kembali normal segera.

Tinjauan mendapati laluan utama hanya dilalui beberapa kenderaan, manakala pengangkutan awam beroperasi dengan jumlah penumpang berkurangan.

Stesen minyak dan premis perniagaan di beberapa kawasan turut ditutup, mencerminkan kebimbangan berterusan dalam kalangan penduduk.

Keganasan yang tercetus menyaksikan lebuh raya disekat menggunakan kenderaan dibakar serta beberapa premis perniagaan dibakar di beberapa negeri.

Susulan itu, sekolah dan universiti di Jalisco serta beberapa negeri lain membatalkan sesi persekolahan sebagai langkah pencegahan.

Seorang pemandu teksi, Oscar Lozano, berkata beliau berdepan detik cemas ketika rusuhan berlaku, namun tetap kembali bekerja pada Isnin atas faktor keperluan.

Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 30 suspek anggota geng, 25 anggota Pengawal Kebangsaan serta seorang orang awam maut dalam gelombang keganasan susulan serbuan berkenaan.

Selain itu, sekurang-kurangnya 70 individu ditahan di tujuh negeri manakala 85 sekatan jalan raya dipercayai berkaitan kartel direkodkan pada Ahad.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata tiada lagi sekatan jalan raya dilaporkan dan keadaan dijangka kembali normal, dengan penerbangan yang dibatalkan sebelum ini disambung semula selewat-lewatnya Selasa. -REUTERS