
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Kerajaan komited memastikan sebarang impak terhadap pengguna susulan pelaksanaan kaedah penentuan nilai eksais berada pada tahap minimum, khususnya melibatkan golongan B40 dan M40.
- Kerajaan komited hadkan impak kepada pengguna, terutama B40 dan M40, susulan pelaksanaan kaedah nilai eksais baru.
- Nilai eksais ditentukan berdasarkan harga pasaran terbuka, kaedah umum untuk semua barangan keluaran tempatan.
- Pengecualian sementara sehingga 30 Jun 2026 membolehkan nilai eksais kenderaan dikira berdasarkan kos pengilangan.
- Pengenalan NCM untuk sokong pelaburan tinggi, kandungan tempatan, pembangunan vendor dan eksport tanpa kehilangan daya saing.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata pendekatan penentuan nilai eksais berdasarkan harga pasaran terbuka merupakan kaedah umum dalam sistem eksais yang terpakai kepada semua barangan dikilangkan tempatan, dan bukan khusus kepada industri automotif semata-mata.
Menurut beliau, kerajaan turut memberikan pengecualian sementara sehingga 30 Jun 2026 bagi membolehkan nilai eksais kenderaan yang dikilangkan secara tempatan dikira berdasarkan kos pengilangan.
“Langkah ini merupakan tempoh peralihan bagi membolehkan syarikat pengeluar menyesuaikan model perniagaan serta struktur kos masing-masing mengikut ketetapan semasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Jerantut, Khairul Nizam Khirudin.
Tambah Sim, kerajaan juga memperkenalkan mekanisme New Customised Incentive Mechanism (NCM) bagi memastikan syarikat yang membuat pelaburan tinggi, meningkatkan kandungan tempatan serta menjana pembangunan vendor dan eksport tidak berada dalam keadaan kurang kompetitif.
Langkah berkenaan, jelasnya, bertujuan mengekalkan keseimbangan antara perlindungan pengguna dan keadilan dalam struktur percukaian industri.