
CORTINA D’AMPEZZO, 17 Februari – Peluncur bobsleigh veteran Amerika Syarikat, Elana Meyers Taylor, akhirnya menamatkan penantian panjangnya untuk meraih emas Olimpik apabila menjuarai acara bobleigh monobob wanita di Sukan Olimpik Milano-Cortina, pada Isnin.
- Elana Meyers Taylor akhirnya memenangi emas Olimpik dalam acara monobob wanita pada usia 41 tahun.
- Dia mengatasi Laura Nolte dari Jerman yang meraih perak dan Kaillie Armbruster Humphries mengambil gangsa.
- Kejayaan menamatkan penantian selepas mengumpul beberapa pingat perak dan gangsa dalam empat penampilan Olimpik.
Pada usia 41 tahun, Meyers Taylor tampil cemerlang untuk menewaskan wakil Jerman, Laura Nolte, yang meraih perak, manakala rakan senegaranya, Kaillie Armbruster Humphries, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kejayaan itu amat bermakna buat Meyers Taylor yang sebelum ini mengumpul tiga pingat perak dan dua gangsa dalam acara monobob sepanjang empat penampilan Olimpik sejak edisi Sukan Olimpik Musim Sejuk Vancouver 2010.
Sementara itu, Armbruster Humphries, yang pernah mewakili Kanada sehingga Olimpik 2018, memiliki rekod cemerlang dengan tiga emas Olimpik dan lima gelaran dunia, namun kali ini terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga.
“Saya berasa hebat. Sedikit penat kerana adrenalin semakin berkurang, tetapi saya sangat teruja akhirnya memiliki pingat emas selepas bekerja keras selama ini,” kata Meyers Taylor.
Dia turut menzahirkan penghargaan kepada suaminya yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan kariernya.
“Suami saya sentiasa ada di setiap langkah, memberitahu bahawa saya mampu melakukannya,” katanya lagi.-REUTERS