
PALESTIN, 28 Julai – Kerajaan Palestin terus berdepan cabaran akibat tindakan berterusan rejim Zionis menahan hasil cukai Palestin yang berjumlah lebih US$5 bilion, menurut satu laporan kerajaan.
- Penahanan hasil cukai oleh rejim Zionis memburukkan kecairan dan menekan fiskal kerajaan Palestin.
- Pengumpulan mata wang shekel di bank Palestin mencetuskan krisis kecairan akibat Bank of Israel menolak penerimaan wang kertas.
- Berpotensi putus hubungan perbankan koresponden oleh bank Israel mengancam ekonomi, sistem kewangan, perdagangan dan kestabilan sosial.
- Sekatan pergerakan, keganasan peneroka serta pengurangan bekalan bahan api memburukkan pengangguran melebihi 35 peratus dan kesusahan awam.
Laporan mingguan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin, meliputi tempoh 20 hingga 27 Julai, menyatakan bahawa dana yang ditahan itu merangkumi kira-kira 68 peratus hasil pendapatan Kementerian Kewangan.
“Krisis kecairan menjadi semakin parah akibat pengumpulan wang kertas shekel Israel di bank-bank Palestin, susulan keengganan Bank of Israel menerima dana tersebut, walaupun hakikatnya sumber utama wang itu adalah daripada pasaran Israel sendiri,” menurut laporan itu.
Jumlah pegangan mata wang shekel yang terkumpul dianggarkan bernilai kira-kira US$5 bilion.
Laporan itu menambah keadaan tersebut, ditambah pula dengan tindakan berterusan menahan hasil cukai Palestin, telah memberikan tekanan tambahan ke atas kewangan awam serta mengehadkan secara ketara keupayaan kerajaan Palestin untuk memenuhi kewajipannya.
Kerajaan Palestin dan Pihak Berkuasa Monetari Palestin juga terus menangani kesan serius akibat ancaman berkaitan kemungkinan keputusan bank Israel untuk memutuskan hubungan perbankan koresponden dengan bank Palestin.
Ia menyatakan bahawa jika dilaksanakan, langkah berkenaan akan menimbulkan risiko besar terhadap ekonomi, sistem kewangan dan perdagangan luar Palestin, serta berkeupayaan mencetuskan ketidakstabilan ekonomi dan sosial yang lebih teruk.
Ia turut memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi penduduk ketika kadar pengangguran melebihi 35 peratus, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Rejim Zionis juga terus memperketat sekatan terhadap pergerakan penduduk dan barangan antara bandar serta desa di Palestin.
“Sekatan ini, yang berpunca daripada kewujudan lebih 900 pusat pemeriksaan tentera dan pintu pagar besi, menghalang mobiliti, mengganggu aktiviti ekonomi dan memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan seharian penduduk,” tambahnya.
Laporan itu menyatakan bahawa cabaran-cabaran tersebut berlaku serentak dengan peningkatan keganasan oleh peneroka haram dan jenayah terancang di pelbagai wilayah di Tebing Barat, termasuk perbuatan membakar rumah serta harta benda penduduk Palestin.
Situasi berkenaan memburukkan lagi ketidakstabilan serta menambah tekanan kemanusiaan dan ekonomi yang dihadapi penduduk.
Tebing Barat juga baru-baru ini menyaksikan kesesakan ketara di stesen minyak akibat pengurangan bekalan bahan api daripada pihak Israel, kelewatan ketibaan bekalan disebabkan sekatan pergerakan orang ramai dan barangan di pusat pemeriksaan tentera, serta kesan daripada krisis kewangan dan ekonomi yang semakin meruncing.
“Walaupun berdepan situasi yang rumit ini, kerajaan Palestin terus berusaha untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan penting, mengekalkan fungsi institusi awam, serta menangani kesan terkumpul akibat krisis fiskal dan ekonomi yang masih berlarutan,” tambah laporan itu. – BERNAMA