
LANGKAWI, 17 Februari – Tindakan pantas seorang murid tahun enam dalam memberikan bantuan awal ketika menyelamatkan rakannya daripada lemas di Pantai Pasir Hitam, Langkawi, baru-baru ini, mendapat pujian Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
- Seorang murid tahun enam, Faris Danish Zulfadli, bertindak pantas menyelamatkan rakan daripada lemas di Pantai Pasir Hitam.
- Faris membawa mangsa ke darat dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum bantuan perubatan tiba.
- Tindakan berani itu dipuji Jabatan Pendidikan Negeri Kedah sebagai hasil pendidikan holistik.
- JPN Kedah menegaskan komitmen memperkukuh kokurikulum selaras Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
Pengarahnya, Abdul Rahim Mat yang melahirkan rasa bangga berkata tindakan berani Faris Danish Zulfadli itu membuktikan keberkesanan pendidikan holistik yang dilaksanakan di sekolah.
“Dalam kejadian Sabtu lalu, Faris yang merupakan Ketua Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, Langkawi telah bertindak terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan rakannya dan membawa naik mangsa ke daratan serta diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh Faris sendiri, sementara menunggu bantuan perubatan tiba,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Abdul Rahim, Faris merupakan cerminan sebenar pendidikan yang membina insan, bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata.
Tindakan berani dan empati yang ditunjukkan beliau dalam situasi kritikal, membuktikan pendidikan membentuk wira yang berjiwa besar, berdaya tahan dan berkemahiran, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Keberanian Faris juga menggambarkan peranan penting guru sebagai pembimbing, serta sokongan padu ibu bapa yang sentiasa menggalakkan penglibatan anak-anak dalam aktiviti kokurikulum,”katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa JPN Kedah akan terus komited menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035 dengan memperkukuh kokurikulum sebagai wahana pembinaan generasi berdaya tahan, berkemahiran dan berjiwa besar.