PDRM perkukuh keselamatan perairan Sabah, 43 pegawai tamat Kursus Sea Combat Brigade

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail/BERNAMA

LAHAD DATU, 14 Februari– Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan perairan Sabah melalui Kursus Asas Sea Combat Brigade Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • 43 pegawai dan anggota tamat latihan intensif Kursus Asas Sea Combat Brigade Siri 1/2026 di Lahad Datu.
  • Latihan menekankan navigasi marin, pengendalian bot tempur, taktik serbuan laut dan risikan maklumat.
  • Kursus tahunan sejak 2023 memperkukuh kesiapsiagaan dan pertahanan keselamatan perairan Sabah.

Seramai 43 pegawai dan anggota menamatkan latihan intensif yang diadakan di Batalion 17 PGA dan Pulau Adal, yang menggabungkan teori, praktikal serta latihan medan di perairan Lahad Datu bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kursus itu merupakan inisiatif strategik untuk memastikan anggota sentiasa bersedia menghadapi ancaman maritim termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan lanun.

“Seramai 43 pegawai dan anggota yang dilatih perlu bersedia dari segi keupayaan mental, fizikal serta tenaga, selaras dengan SOP yang ditetapkan, bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan,” kata Datuk Seri Mohd Khalid kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus Asas Sea Combat Briged Sabah PGA Siri 1, di sini.

Latihan menekankan kemahiran navigasi marin, pengendalian bot tempur, taktik serbuan laut serta risikan maklumat bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Sejak diperkenalkan pada 2023, kursus berkenaan menjadi platform tahunan Briged Sabah PGA untuk melahirkan anggota mahir tempur laut dan memperkukuh pertahanan perairan negeri.

Dengan tamatnya latihan Siri 1/2026, PDRM yakin barisan hadapan keselamatan maritim kini lebih bersedia mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan perairan Sabah kekal aman dan terkawal.