
KAJANG, 11 Februari – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memperkukuh komitmennya dalam menyokong agenda pendidikan negara dengan menyediakan peruntukan biasiswa dan bantuan kewangan dalaman berjumlah RM24 juta bagi tahun 2026.
- UNIREADY 2026 membina sahsiah, kepimpinan dan kemahiran komunikasi generasi muda selaras aspirasi Malaysia MADANI.
- Program disusun sebagai platform pembangunan holistik, bukan sekadar kem akademik, menyokong RPTM 2026-2035.
- Fokus pada kemahiran insaniah, pembelajaran imersif "Kehidupan Pelajar @ Kampus" dan penglibatan peserta B40.
- 250 peserta diperkenalkan kepada ekosistem kampus, peluang kerjaya dalam tenaga dan teknologi serta bimbingan pakar akademik.
Inisiatif itu bertujuan memastikan akses pendidikan yang inklusif serta mengelakkan keciciran pelajar berpotensi, khususnya daripada golongan B40 akibat kekangan kewangan.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program persediaan seperti UNIREADY 2026 merupakan platform penting dalam membina sahsiah dan kepimpinan generasi muda selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Program ini membuktikan UNITEN bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi universiti yang dekat di hati rakyat serta berperanan sebagai pemangkin mobiliti sosial dan pencetus perubahan masyarakat,” katanya ketika merasmikan UNIREADY 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut memuji usaha UNITEN bersama rakan strategik yang memberi ruang kepada anak muda membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan sahsiah diri.
“Ambillah peluang ini. Kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademik, tetapi individu berintegriti dengan nilai MADANI yang kukuh,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Canselor UNITEN, Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, program berkenaan bukan sekadar kem akademik, sebaliknya platform pembangunan holistik yang menyokong Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
“UNIREADY bermula pada 2022 dan terus diperkukuh. Edisi 2026 dirangka lebih menyeluruh dengan fokus kepada pembangunan kemahiran insaniah, pembelajaran imersif melalui konsep ‘Kehidupan Pelajar @ Kampus’ serta penglibatan peserta B40 dan bakat muda berpotensi,” katanya.
UNITEN turut mengekalkan kecemerlangan apabila berada dalam kelompok lima terbaik institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di Malaysia menerusi Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026 by Subject.
Edisi UNIREADY kali ini menghimpunkan 250 peserta yang didedahkan kepada ekosistem pembelajaran kampus, peluang kerjaya dalam sektor tenaga dan teknologi serta bimbingan daripada pakar akademik.