Pecah amanah lebih RM1.2 juta, penolong akaun dipenjara enam tahun, lapan sebatan

FOTO BERNAMA

SANDAKAN, 11 Februari – Seorang penolong akaun sebuah syarikat dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah lebih RM1.2 juta, tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penolong akaun mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM1.2 juta.
  • Disabitkan hukuman penjara enam tahun, lapan sebatan, hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan.
  • Kes dikendalikan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan; tertuduh ditangkap 3 Februari oleh polis siasatan jenayah komersil.

Hakim Roslinda Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Chia Ka Rong, 24 tahun, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 3 Februari lalu, manakala satu sebatan dikenakan bagi setiap pertuduhan dan dilaksanakan secara berasingan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Chia Ka Rong ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada pukul 11.25 pagi, 3 Februari lalu di perkarangan sebuah syarikat atas namanya di Batu 2½, Sandakan.