30 pengamal media Malaysia meriahkan sambutan Hari Pers Nasional Indonesia

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dengan disertai barisan pimpinan ISWAMI/Foto ISWAMI

BANTEN (Indonesia), 9 Februari – Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2026 hari ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih 30 delegasi Malaysia bersama kira-kira 3,000 pengamal media Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 30 delegasi Malaysia hadir memeriahkan HPN 2026 bersama kira-kira 3,000 pengamal media Indonesia.
  • Pemimpin kedua-dua negara tekankan cabaran sama seperti pengiklanan dan kesan kecerdasan buatan terhadap kewartawanan.
  • Delegasi harap pengalaman HPN dimanfaatkan untuk persiapan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Pulau Pinang Jun depan.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dengan disertai barisan pimpinan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Jabatan Penyiaran Malaysia Hamzah Ishak serta Presiden Iswami Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Menteri Koordinator Bidang Pemberdayaan Masyarakat Indonesia Abdul Muhaimin Iskandar berkata dalam era pergerakan data yang pantas dibantu kecerdasan buatan (AI), pengamal media memainkan peranan penting dalam memastikan ketepatan dan kejujuran laporan demi kebaikan masyarakat.

“Saya rasa banyak cabaran yang dihadapi oleh pengamal media ke Indonesia sebenarnya sangat banyak persamaan dengan cabaran yang dihadapi oleh Wartawan kami di Malaysia.

“Kita di sini nampak bahawa wartawan di sini ada cabaran dari segi pengiklanan, AI dan sebagainya. ,” katanya semasa berucap merasmikan HPN 2026 mewakili Presiden Prabowo Subianto di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid.

Sementara itu, Teo berkata cabaran dihadapi pengamal media di Indonesia sebenarnya sangat mirip dengan pengamal media di Malaysia.

“Saya percaya hasrat untuk memastikan (ekosistem) kewartawanan kita sihat supaya ekonomi berdaulat, dan juga bangsa kita menjadi semakin kuat adalah sama (seperti wartawan Indonesia),” katanya.

Beliau turut berharap semangat dan pengalaman diperoleh menerusi HPN dapat dibawa pulang ke Malaysia sebagai persediaan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan dianjurkan di Pulau Pinang, Jun depan.