
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Sebanyak 190 pasukan dari enam negara menyertai Kejohanan Ragbi Junior Antarabangsa KL Tigers 2026 yang berlangsung di Bukit Kiara, di sini, sekali gus mengukuhkan status kejohanan itu sebagai antara acara ragbi remaja terbesar di rantau ini.
- Memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain muda untuk meningkatkan pengalaman dan tahap permainan.
- Membangunkan bakat ragbi di peringkat akar umbi dengan memberi peluang beraksi kepada lebih ramai pemain muda.
- Memperkuatkan komuniti ragbi serantau dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan.
Pasukan yang bertanding terdiri daripada wakil Malaysia, Singapura, Hong Kong, Australia, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu, dengan kehadiran 8,000 hingga 10,000 penonton dijangka memeriahkan kejohanan selama dua hari bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KL Tigers Rugby Club, Sam Bottom berkata penganjuran kejohanan itu bertujuan membangunkan bakat ragbi di peringkat akar umbi, selain memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain muda.
“Fokus utama kami adalah memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda untuk beraksi sebagai langkah pertama dalam sukan ini. Kami juga mahu memastikan pasukan tempatan berpeluang menentang pasukan antarabangsa bagi meningkatkan pengalaman dan tahap permainan,” katanya ketika ditemui RTM di sini, hari ini.
Kejohanan tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti ragbi serantau serta menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan, selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pertandingan melibatkan pelbagai kategori umur bermula bawah enam tahun hingga bawah 17 tahun, selain kategori wanita dan bukan sentuhan bagi memastikan penyertaan lebih menyeluruh dalam kalangan pemain muda.