Langkawi pelopor sukan pelayaran Wing Foil

LIRP edisi kali ke- 22 menghimpunkan 298 pelayar daripada 10 negara yang bersaing dalam sembilan kategori. Foto/BERNAMA

LANGKAWI, 6 Februari – Langkawi bakal menjadi pelopor sukan pelayaran dalam kategori Wing Foil apabila buat pertama kalinya diperkenalkan pada Kejohanan Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026, bermula Ahad ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkawi memperkenalkan kategori Wing Foil pertama kali dalam LIRP 2026 sebagai acara rasmi.
  • 25 pelayar mengesahkan penyertaan termasuk atlet antarabangsa dari Perancis dan Amerika Syarikat.
  • Keadaan angin dijangka 10–15 km/jam, sesuai untuk perlumbaan Wing Foil dan menarik penonton.

Pengarah Kejohanan LIRP 2026 Mohd Afendy Abdullah berkata, pengenalan acara itu dilihat selari dengan perkembangan sukan air moden yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Ini juga adalah antara usaha untuk menambah daya tarikan penganjuran dan menarik banyak penonton ke kejohanan berkenaan. Wing Foil ini menggabungkan elemen luncur angin, luncur ombak dan penggunaan sayap angin, sekali gus menawarkan aksi lebih pantas dan dinamik di atas permukaan air.

“Langkawi berada selangkah di hadapan apabila menjadi antara yang terawal memasukkan kategori Wing Foil sebagai acara rasmi dalam kejohanan regata berprestij kali ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Afendy memaklumkan, sambutan yang diterima juga amat memberangsangkan dengan 25 pelayar telah mengesahkan penyertaan dalam kategori berkenaan, termasuk atlet dari Perancis Ghio Romain serta Paul Dickey dari Amerika Syarikat.

“Perairan Langkawi dijangka menerima tiupan angin konsisten antara 10 hingga 15 kilometer sejam pada awal minggu depan, ini bakal menyediakan keadaan yang sangat sesuai untuk acara Wing Foil berlangsung dengan baik.

“Kami juga berharap dapat melihat pelayar muda negara Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa dari Perlis untuk tampil memberi cabaran dalam kategori baharu itu,” katanya.

LIRP edisi kali ke-22 yang akan berakhir pada Khamis depan menghimpunkan 298 pelayar daripada 10 negara yang bersaing dalam sembilan kategori iaitu Optimist, Laser Standard (ILCA 7), Laser Radial (ILCA 6), Laser 4.7 (ILCA 4), International 470, International 420, Windsurfing, 29er dan Wing Foil.- Bernama