Malaysia mara ke suku akhir BATC 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Malaysia meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China selepas menghuni tempat kedua Kumpulan D, di belakang Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia layak ke suku akhir BATC 2026 selepas menghuni tempat kedua Kumpulan D.
  • Malaysia tewas 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan penentu di Qingdao.
  • Kemenangan datang daripada Justin Hoh dan beregu Wan Arif/Yap Roy King.
  • Malaysia menewaskan Myanmar 5-0 pada aksi pembukaan kumpulan.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Gimnasium Conson, Pusat Sukan Qingdao, skuad badminton lelaki negara tewas 2-3 kepada Indonesia.

Malaysia berjaya mendahului apabila perseorangan lelaki negara Justin Hoh mudah mengetepikan Moh. Zaki Ubaidillah 21-16, 21-19 dalam masa 46 minit.

Skuad negara kemudian terpaksa bekerja keras untuk menggandakan kedudukan menerusi beregu lelaki Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang berjaya menewaskan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dalam perlawanan sengit 21-13, 12-21, 21-13.

Satu lagi perseorangan lelaki negara Eogene Ewe, bagaimanapun gagal mengatasi Prahdiska Bagas Shujiwo 12-21, 21-14, 15-21, sekali gus membenarkan Indonesia merapatkan kedudukan 2-1.

Malaysia terus terlepas mata keempat apabila beregu lelaki Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri ditewaskan gandingan pasukan lawan Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-16, 11-21, 19-21.

Satu-satunya harapan Malaysia untuk meraih mata terakhir turut lebur apabila perseorangan lelaki Kong Wei Xing dikecewakan Anthony Sinisuka Ginting dalam perlawanan sengit 17-21, 21-13, 16-21.

Pada Rabu, Malaysia mudah mengetepikan Myanmar 5-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir.