Seorang maut, dua parah dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan

Pihak bomba mengeluarkan salah seorang mangsa yang cedera. Foto/ JBPM Selangor

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Seorang maut dan enam cedera dengan dua daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, lori dan treler di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala selatan, berhampiran Rawang awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu bas berusia 39 tahun tersepit dan cedera, dikeluarkan anggota bomba pada pukul 6.05 pagi.
  • Pemandu lori bonded 10 tan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.
  • Operasi menyelamat melibatkan 16 anggota bomba dan beberapa jentera dari BBP Bukit Sentosa dan BBP Rawang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.12 pagi.

“Bas berkenaan membawa 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak serta dua pemandu.

“Pemandu bas iaitu lelaki tempatan berusia 39 tahun telah tersepit dan cedera pada bahagian kaki, namun berjaya dikeluarkan anggota bomba pada pukul 6.05 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Mukhlis, pemandu lori bonded 10 tan dilaporkan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Kesemua mangsa yang cedera juga telah diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat itu melibatkan 16 anggota bomba dengan bantuan jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Emergency Response Motorcycle (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa, serta Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Rawang. – Bernama

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan