Sistem automasi baharu tingkat kualiti siaran KELANTANfm

PENGARAH BAHAGIAN PUSAT SIARAN DAN KAWALAN RANGKAIAN MULTICHANNEL, ISMAIL SEMAN

KOTA BHARU, 3 Februari – Pendengar KELANTANfm bakal menikmati siaran radio yang lebih berkualiti susulan kerja menaik taraf peralatan Radio Automation System (RAS) baharu yang kini beroperasi sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem automasi baharu tingkat prestasi operasi dan kualiti audio siaran radio untuk kestabilan lebih baik.
  • Naik taraf menggantikan peralatan lebih 20 tahun, mengurangkan risiko kegagalan operasi dan gangguan siaran.
  • Projek sebahagian skala nasional; pelaksanaan dilanjutkan ke negeri lain selepas kelulusan peruntukan RMK13.

Pengarah Bahagian Pusat Siaran dan Kawalan Rangkaian Multichannel Jabatan Penyiaran Malaysia, Ismail Seman berkata, projek bernilai RM8.35 juta bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 3 itu siap sepenuhnya, selepas kerja naik taraf bermula pada Julai 2024.

Menurut beliau, sistem automasi baharu yang menggantikan peralatan lama berusia lebih 20 tahun itu mampu meningkatkan prestasi operasi serta menyalurkan siaran radio dengan kualiti audio yang lebih baik dan stabil.

Ia bukan sahaja mengurangkan risiko gangguan siaran, malah memberi nafas baharu kepada kakitangan untuk menghasilkan program yang lebih kreatif dan berimpak tinggi kepada pendengar.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, peralatan sistem lama sebelum ini berdepan risiko kegagalan operasi berikutan alat gantinya tidak lagi berada di pasaran.

“Oleh sebab itu, kita terpaksa menaik taraf kepada peralatan yang lebih moden dan relevan dengan teknologi semasa. Dengan penggunaan sistem baharu ini, risiko sistem tergendala atau mengalami kerosakan dapat dikurangkan berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tender Membekal, Memasang, Menguji dan Mentauliah Peralatan dan Sistem Automasi Penyiaran Radio bagi Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, di sini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Fasiliti, Roziyati Rosli; Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, Ivan Toh Swee Ming serta Pengarah Urusan Medialab Alliance Sdn Bhd, Ts. Azhar Abdul Latiff.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail memaklumkan hampir 80 peratus stesen radio negeri di seluruh negara telah dinaik taraf dengan peralatan automasi dan digital terbaharu berikutan keadaan peralatan sedia ada yang uzur.

Tambah beliau, projek pembangunan sistem automasi RAS turut dirancang untuk RTM Perak, Johor dan Langkawi, yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diluluskan.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan