SPRM pastikan hasil wang tidak sah dikembalikan semula kepada kerajaan

Tan Sri Azam Baki/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tanggungjawab agensi itu adalah memastikan wang yang diperoleh secara tidak sah dikembalikan semula kepada kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM memastikan wang yang diperoleh secara tidak sah dipulangkan kepada kerajaan selepas siasatan selesai.
  • Pengurusan dan perbelanjaan dana terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
  • SPRM tidak bertanggungjawab menentukan bagaimana kerajaan membelanjakan dana yang dilucut hak.
  • SPRM merekodkan pemulihan lebih RM8.5 bilion melalui tindakan penguatkuasaan sepanjang 2025.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, urusan pengurusan dan perbelanjaan dana berkenaan terletak bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF).

Sebaik sahaja siasatan SPRM selesai dan wang terbabit dilucut hak, ia akan diserahkan kepada kerajaan melalui MOF dan agensi itu tidak bertanggungjawab untuk menentukan bagaimana dana berkenaan dibelanjakan.

“Bagi pihak kami, tugas SPRM adalah untuk mendapatkan semula wang yang telah dicuri daripada rakyat dan mengembalikannya kepada rakyat melalui kerajaan.

“Soal bagaimana wang itu dibelanjakan adalah keputusan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan SPRM di sini, hari ini.

Menurut Tan Sri Azam, kerajaan dan MOF mempunyai mekanisme serta keupayaan tersendiri dalam menguruskan dana awam selaras dengan keperluan dan kepentingan negara.

Terdahulu Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menerusi kenyataan memaklumkan, pemulihan semula RM8.5 bilion hasil yang diperoleh SPRM secara tidak sah hanya akan memberi makna sekiranya wang itu digunakan secara telus, memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta disusuli dengan hukuman tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, dana berkenaan yang disifatkan sebagai ‘wang awam yang pernah dicuri’, tidak seharusnya sekadar diserap ke dalam perbelanjaan rutin kerajaan.

Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, SPRM merekodkan kejayaan besar apabila berjaya merampas dan memulihkan hasil rasuah berjumlah lebih RM8.5 bilion.

Ia dilaksanakan menerusi pelbagai tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan aset dan wang, pembekuan akaun, lucut hak, kompaun serta penyelesaian (settlement).

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan