Empat rumah teres musnah terbakar di Kota Bharu

FOTO BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT KOTA BHARU

KOTA BHARU, 3 Februari – Empat buah rumah teres kayu dua tingkat di Jalan Atas Paloh, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat rumah teres kayu dua tingkat musnah 100 peratus, dipercayai tidak berpenghuni dan lama ditinggalkan.
  • Sebuah rumah separuh kekal terjejas kira-kira 3%; empat penghuni dilaporkan selamat.
  • Operasi pemadaman diketuai PBK I Nazaruddin dengan 33 anggota, kebakaran dikawal pada 2.59 pagi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II Zazuki Safei, tiada mangsa dilaporkan cedera.

Zazuki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.05 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Kebakaran membabitkan empat buah rumah teres kayu dua tingkat yang terbakar 100 peratus dan dipercayai tidak berpenghuni serta telah lama ditinggalkan,” katanya.

Selain itu, sebuah rumah separuh kekal turut terjejas kira-kira tiga peratus. Rumah berkenaan didiami sebuah keluarga membabitkan empat orang dewasa dan kesemua mereka dilaporkan selamat.

Tambah Zazuki, sebuah lagi rumah teres kayu turut mengalami kerosakan kira-kira dua peratus, namun maklumat berkaitan penghuni rumah berkenaan masih belum diperoleh setakat ini.

Operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Nazaruddin Ismail dengan kekuatan keseluruhan 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Kota Darul Naim, Tunjung serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Jembal.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 2.59 pagi dan operasi ditamatkan pada pukul 5.05 pagi.

“Struktur kayu rumah teres dua tingkat menyebabkan api merebak dengan pantas, namun operasi pemadaman berjalan lancar berikutan bekalan air mencukupi dengan kehadiran pili bomba berhampiran lokasi kejadian.

“Tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak sekali gus menyelamatkan banyak rumah di kawasan sekitar,” katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan