Eksekutif bank ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman

Lokasi kediaman Zahrullail Basir yang ditemukan maut pagi tadi . Foto RTM

ALOR SETAR, 2 Februari – Seorang wanita ditemukan maut di kediamannya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat Zahrullail Basir ditemui dengan tiga kesan tikaman di perut, payu dara kiri dan tapak tangan kiri.
  • Mangsa juga mengalami kecederaan di kepala, muka, lebam dan kecederaan pergelangan tangan; beg tangan hilang termasuk barang kemas dan telefon.
  • Polis mengesan seorang suspek, dipercayai anak mangsa, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302.

Mayat Zahrullail Basir, 52, eksekutif operasi bank, ditemukan di dalam rumah dengan tiga kesan tikaman di bahagian perut, payu udara kiri serta tapak tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.45 pagi.

Menurut beliau, laporan awal diterima daripada salah seorang anak mangsa yang memaklumkan berlaku kejadian pembunuhan melibatkan ibunya, dipercayai ditikam di bahagian badan serta dipukul di bahagian kepala.

Berikutan itu sepasukan anggota Forensik D10 dan Unit Anjing Pengesan K-9 tiba di lokasi untuk membantu siasatan.

Siasatan lanjut mendapati mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dan muka, lebam di bahu kiri dan dahi, selain kecederaan di pergelangan tangan.

Polis turut mengesahkan kehilangan sebuah beg tangan milik mangsa yang mengandungi barangan kemas, wang tunai serta sebuah telefon bimbit.

Mangsa dilaporkan tinggal di rumah terbabit bersama tiga anaknya.

Usaha menangkap suspek yang dipercayai salah seorang anak mangsa sedang dilakukan.

ACP Syed Basri berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut dan giat mengesan seorang lelaki Amirul Shafiq Shamsul Zahari dengan nombor kad pengenalan 970524-02-5557 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.