
KOTA BHARU, 2 Februari – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menawarkan pembelajaran teknologi robotik bagi pembedahan lutut, selari perkembangan teknologi perubatan semasa.
- HPUSM perkenal teknologi robotik dalam program Sarjana Perubatan Ortopedik untuk latihan pembedahan lutut berketepatan tinggi.
- Institusi ini juga pusat latihan utama dan menawarkan Program Fellowship Arthroplasty serta pengajaran dan penyelidikan berkaitan.
- HPUSM menyediakan perkhidmatan Robotik Total Knee Replacement menggunakan ROSA Knee System dengan hasil awal memberangsangkan.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, teknologi itu diperkenal sebagai sebahagian program Sarjana Perubatan Ortopedik bagi melatih pembedahan berketepatan tinggi dan perancangan prapembedahan berasaskan data.
Beliau berkata, HPUSM juga menjadi antara pusat latihan utama penghasilan pakar ortopedik negara, termasuk menawarkan Program Fellowship Arthroplasty.
“Kita juga menjalankan penyelidikan dan pengajaran. Oleh itu, pesakit boleh mendapatkan rawatan yang sama di mana-mana sahaja, namun individu yang ingin mempelajari teknik tersebut hanya ditawarkan di USM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Peluncuran Perkhidmatan Pembedahan ‘Robotik Total Knee Replacement’ di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini.
Setakat ini, seramai 80 pelajar pascasiswazah mengikuti program berkenaan dengan bimbingan tiga tenaga pengajar pakar.
Dalam perkembangan sama, HPUSM turut menawarkan perkhidmatan pembedahan ‘Robotik Total Knee Replacement’ menggunakan ‘ROSA Knee System’.
Sebanyak 13 pesakit telah menjalani prosedur itu sejak September lalu dengan hasil awal yang memberangsangkan, sekali gus memberi akses rawatan berteknologi tinggi kepada penduduk Pantai Timur.