Kuala Terengganu, Kuala Nerus antara kawasan paling terjejas kebakaran terbuka

FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dikenal pasti antara kawasan paling terjejas dengan kes kebakaran terbuka di Terengganu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus antara paling terjejas dengan pembakaran sisa di belukar dan tanah persendirian.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan terutama ketika musim kemarau.
  • JBPM akan meningkatkan pemantauan, mengenal pasti 100–120 kawasan berisiko bersama agensi berkaitan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Nor Mahathir Muhamad, berkata kejadian itu melibatkan pembakaran sisa di kawasan belukar dan tanah persendirian.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan, terutamanya ketika musim kemarau.

“Walaupun terdapat peningkatan pada bulan Januari 2026 berbanding bulan yang sama pada 2025, ia meningkat hampir 1,000 peratus. Namun begitu, keadaan di negeri kita masih terkawal.”

“Cuma kita mohon supaya masyarakat supaya tidak meneruskan pembakaran sesuka hati, pembakaran yang tanpa dikawal untuk memastikan ianya tidak berlaku sesuatu yang lagi teruk daripada yang sekarang ini dialami oleh negeri-negeri lain, selain daripada negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyempurnaan Majlis Perbarisan Tahunan 2026 dan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil sektor korporat, swasta, kerajaan dan individu di pekarangan ibu pejabat bomba negeri di sini.

Pihaknya turut memberi jaminan bahawa pemantauan berterusan akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal, dengan anggaran 100 hingga 120 kawasan berisiko dikenal pasti berdasarkan maklumat dan pemantauan bersama agensi berkaitan.