
KUALA LUMPUR , 1 Februari- Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan juara keseluruhan Sukan Asasi Malaysia Ke-9 Tahun 2026 (SAM2026) yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
- Pusat Asasi UiTM dinobatkan juara keseluruhan SAM2026 selepas dominasi pungutan pingat.
- Penganjuran menekankan pembangunan holistik pelajar asasi bukan hanya kecemerlangan akademik.
- Kementerian Pendidikan Tinggi mahu bangunkan bakat pelajar generasi muda termasuk dalam bidang sukan.
- Acara tiga hari melibatkan kira-kira 1,400 atlet dari pelbagai institusi serta 11 jenis sukan.
Kejayaan itu hadir selepas pasukan itu mendominasi pungutan pingat dengan kutipan 10 pingat emas, lima perak dan lima gangsa.
Tempat kedua menjadi milik Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tujuh emas, enam perak dan tiga gangsa, diikuti Pusat Asasi Universiti Malaya (UM) di tempat ketiga.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman penganjuran kejohanan itu membuktikan kesungguhan semua pihak dalam memastikan pembangunan pelajar asasi dilaksanakan secara menyeluruh.
“Penganjuran Sukan Asasi Malaysia ini jelas membuktikan bahawa pembangunan pelajar di peringkat asasi bukan sahaja tertumpu kepada kecemerlangan akademik, malah merangkumi pembangunan holistik yang menekankan keseimbangan fizikal, mental, emosi dan sahsiah.
“Pendekatan ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035 iaitu ingin membangunkan bakat pelajar generasi muda akan datang antaranya bakat dalam bidang sukan,” katanya pada majlis perasmian penutupan SAM2026 di ibu negara.
Sementara itu beliau berharap penganjuran sukan seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh perpaduan, jaringan kerjasama serta semangat muhibah dalam kalangan pelajar asasi dari pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Untuk rekod, SAM2026 yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan kira-kira 1,400 atlet daripada universiti awam, kolej matrikulasi dan politeknik.
Ia mempertandingkan 11 acara sukan, termasuk sukan fizikal, minda, teknikal serta e-sukan.