
SEREMBAN, 29 Januari– Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Metro IVF Seremban menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe), bersempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, kanser serviks merupakan antara kanser utama yang menyerang wanita dan sering tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
- Kanser serviks sering tidak menunjukkan gejala awal, jadi saringan berkala penting untuk pengesanan awal.
- Langkah pencegahan seperti vaksinasi HPV amat berkesan dalam mengurangkan risiko kanser serviks.
- Kerjasama agensi kerajaan, jabatan dan NGO diperlukan untuk luaskan program pencegahan dan pengesanan.
Kanser tersebut boleh dicegah dan dirawat dengan lebih berkesan melalui saringan berkala serta langkah pencegahan seperti vaksinasi HPV.
“Di Negeri Sembilan sahaja, seramai 11,739 wanita telah menjalani ujian HPV DNA. Sepanjang tempoh dari tahun 2019 hingga 2025, hampir 11,000 wanita telah disaring dan daripada jumlah itu, 715 wanita didapati positif virus berkenaan sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut.”
“Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses kepada pengesanan awal disediakan secara menyeluruh kepada golongan wanita,” kata Datuk Noorzunita kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Majlis Bandaraya Seremban.
Beliau menyeru semula ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menyokong usaha LPPKN bagi pencegahan dan pengesanan awal kenser serviks lebih meluas dan berkesan kepada masyarakat.