
KOTA TINGGI, 30 Januari – Kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8 pagi hari ini.
- Kebakaran tanah gambut di Pengerang dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8 pagi.
- Operasi melibatkan teknik pengeboman air, parit pemisah dan serangan langsung oleh anggota bomba.
- Penggunaan total flooding dengan Pam Hydrosub dan Pam HPM JPS serta helikopter MI-17 JBPM.
- Operasi disokong pelbagai agensi dan orang ramai dinasihati elak pembakaran terbuka.
Komander Operasi Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Rasidi Md Yunus berkata, kebakaran yang berlaku sejak Jumaat lalu membabitkan keluasan 246 ekar.
“Antara strategi digunakan ialah pengeboman air, pembuatan parit pemisah serta direct attack menggunakan anggota pemadaman.
“Operasi turut melibatkan teknik total flooding menggunakan Pam Hydrosub DAN Pam HPM daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Rasidi berkata, operasi disokong pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Helikopter MI-17 Unit Udara JBPM dari Subang Jaya turut digunakan bagi kerja-kerja pengeboman air,” katanya.
JBPM menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas, kering dan berangin.