
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia menyifatkan usaha kerajaan melaksanakan kenaikan bayaran pencen sebagai langkah tepat dalam memastikan kebajikan pesara seiring perubahan ekonomi semasa.
- Kenaikan pencen menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pesara menghadapi perubahan ekonomi.
- Penyelarasan pencen wajar bagi menampung keperluan hidup selepas beberapa tahun bersara.
- Lebih 950,000 pesara menerima manfaat pelarasan pencen Fasa 2 di bawah SSPA.
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia DATUK Mohd Rashidi Mohd Nor berkata, ia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pesara turut menikmati penambahbaikan dari segi pendapatan selepas tamat perkhidmatan.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan atas usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pesara turut menikmati perubahan atau penambahan dari segi pencen yang diterima.
“Kiraan pencen ketika bersara sering kali tidak mencukupi untuk menampung keperluan selepas beberapa tahun, justeru penyelarasan pencen wajar dilaksanakan seiring dengan penyelarasan gaji pegawai yang masih dalam perkhidmatan. Perkara ini sememangnya amat diharapkan oleh para pesara,” katanya ketika dihubungi RTM.
Langkah berkenaan merupakan satu keperluan bagi memastikan kelangsungan hidup lebih selesa kepada pesara. Semalam, lebih 950,000 pesara perkhidmatan awam menerima manfaat pelarasan pencen Fasa 2 bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).