
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini menjadi langkah penting bagi memperkukuh keselamatan negara, memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan serta membina keupayaan industri tempatan yang berintegriti dan berdaya saing.
- Pelaksanaan DIPN selaras dengan keperluan semasa dan tuntutan strategik ATM.
- DIPN berteras empat tonggak: tadbir urus, teknologi, ekosistem dan daya saing eksport.
- Pelaksanaan mesti berlandaskan integriti untuk menangani rasuah tanpa mencemarkan imej ATM.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar yang sekian lama tertangguh itu kini selaras dengan keperluan semasa dan tuntutan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dasar industri pertahanan ini memang lama tertangguh, dan saya kira sesuai dengan tuntutan masa serta menenggelami kemelut yang membadai ATM baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama merasmikan DIPN di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, DIPN digerakkan berasaskan empat tonggak utama iaitu pengukuhan tadbir urus dan institusi, pembangunan keupayaan teknologi, pemantapan ekosistem serta rantaian bekalan pertahanan tempatan, selain peningkatan daya saing global dan eksport.
Beliau menegaskan pelaksanaan DIPN mesti berteraskan integriti dan tadbir urus baik, khususnya dalam menangani isu rasuah dan penyelewengan, sambil menekankan bahawa kes yang masih disiasat tidak wajar mencemarkan keseluruhan imej ATM.
“Jadi, saya ingin menjelaskan bahawa integriti, iltizam, semangat dan daya tahan anggota tidak harus terjejas kerana majoriti besar tahu tanggungjawab mereka, tahu amanah yang digalas oleh mereka dan tahu bahawa negara bergantung kepada khidmat dan kesiapsiagaan mereka,” katanya lagi.
DIPN bukan sahaja bertujuan membina keupayaan industri malah memberi harapan baharu kepada negara, dan memberi jaminan sokongan penuh seluruh Jemaah Menteri terhadap pelaksanaan dasar itu.
“Seluruh Jemaah Menteri adalah bersama untuk perbaiki serta mengangkat semula peranan keupayaan dan juga melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), itu jaminan saya,” katanya.