Bantuan SARA beri kelegaan kewangan golongan bujang

Foto hiasan

KUANTAN, 18 Januari – Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam kalangan golongan bujang di Kuantan, Pahang menyifatkan bantuan berkenaan sebagai amat membantu dalam meringankan beban kos sara hidup harian, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan SARA meringankan beban kos sara hidup harian golongan bujang berpendapatan rendah.
  • Penerima menggunakan bantuan untuk membeli keperluan asas seperti makanan, sabun, beras, telur dan minyak masak.
  • Program ini inisiatif kerajaan untuk membantu kumpulan B40 dan golongan bujang yang layak.

Abdul Hafiz Zaedi yang ditemui RTM berkata, bantuan tersebut membolehkannya membeli barangan keperluan rumah.

“Alhamdulillah, bantuan SARA ini sangat membantu saya membeli barangan rumah. Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan serta berharap ia turut memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Seorang lagi penerima, Muhammad Kusyairi Irfan Putih Bazli, menyifatkan bantuan itu berbaloi dan memberi kelegaan kewangan kepadanya sebagai golongan B40.

“Bagi saya, bantuan ini sangat meringankan beban kerana saya tergolong dalam kumpulan B40,” katanya ringkas.

Sementara itu, Aiman Ikmal Abu Bakar berkata bantuan SARA membolehkannya membeli keperluan makanan dan minuman harian.

“Alhamdulillah, banyak keperluan yang dapat saya beli, terutamanya makanan dan minuman. Terima kasih kepada pihak yang memberikan bantuan SARA ini,” katanya.

Hidayatul Iman Abdul Azim pula berkata, bantuan tunai yang diterima digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti sabun dan makanan harian.

“Dengan jumlah bantuan yang diberikan, banyak barangan keperluan asas yang boleh dibeli untuk kegunaan harian,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Rishman Azman berkata bantuan berkenaan amat membantu golongan bujang mendapatkan barangan asas seperti beras, telur dan minyak masak.

“Bagi saya, bantuan SARA bujang ini sangat membantu untuk membeli keperluan harian asas. Kerajaan memahami kesusahan rakyat dan bantuan ini membolehkan kami membeli makanan asas,” katanya.

Program Sumbangan Asas Rahmah merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan bujang yang layak.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan