OPR dijangka kekal 2.75 peratus sepanjang tahun ini

Kadar OPR itu akan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan,

RINGKASAN BERITA AI
  • BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2026 disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
  • BMI menjangka pertumbuhan menyederhana kepada 4.1 peratus pada 2026, dalam julat unjuran BNM.
  • Inflasi 2026 disemak naik kepada purata 1.9 peratus; ringgit dijangka mencecah RM4.00 terhadap AS$ pada akhir 2026.

Menurut firma penyelidikan BMI, mesyuarat BNM pada November tahun lalu menunjukkan penilaian bank pusat terhadap prospek pertumbuhan 2026 kekal tidak berubah sejak mesyuarat September, dengan penekanan kepada permintaan domestik yang kukuh.

“Unjuran kami selari dengan pandangan bank pusat . Pertumbuhan dijangka menyederhana daripada anggaran 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.1 peratus pada 2026, terendah dalam julat unjuran BNM pada 4.0 peratus hingga 4.5 peratus,” kata BMI dalam nota penyelidikannya.

Kebimbangan bank pusat terhadap inflasi adalah minimum ketika ini, ,memandangkan inflasi keseluruhan berada pada paras yang dijangkakan, dengan purata 1.4 peratus antara Januari 2025 hingga November 2025.

Bagaimanapun, BMI menyemak naik unjuran inflasi 2026 kepada purata 1.9 berbanding 1.7 peratus sebelum ini susulan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam serta Bantuan SARA RM100 kepada untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas Februari depan.

”Unjuran yang disemak semula itu berada pada julat teratas ramalan kerajaan iaitu antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus, namun secara amnya selari dengan purata 2020-2024 sebanyak 1.8 peratus.

Firma penyelidikan itu turut menyemak semula unjuran bagi mata wang tempatan dengan menjangkakan ringgit mencecah RM4.00 bagi setiap dolar Amerika Syarikat menjelang akhir 2026.

“Pasukan kami di Amerika telah menyemak turun unjuran kadar faedah dan kini menjangkakan kadar dana persekutuan akan dikurangkan lagi sebanyak 50 mata asas kepada kadar 3.25 peratus, berbanding unjuran terdahulu pada 3.50 peratus.

“Berdasarkan pendirian dasar monetari BNM yang kekal, perbezaan hasil dijangka cenderung untuk memihak dan memberi manfaat kepada ringgit,” kata BMI.