Kereta hilang kawalan, ragut nyawa penunggang motosikal

Kemalangan di Jalan Tanah Merah, Pendang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut/Polis

PENDANG, 15 Januari – Seorang lelaki maut manakala isteri dan anak perempuan mereka parah selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu wanita hamil lapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kereta dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan kemalangan di Jalan Tanah Merah, Pendang.
  • Seorang penunggang motosikal, Muhammad Hafiz Mahyar, 37, maut di lokasi akibat cedera parah di kepala dan kaki.
  • Isteri mangsa mengalami kecederaan parah termasuk retak tulang pinggul; anak 1 tahun lapan bulan patah paha dan retak tempurung kepala.
  • Pemandu kereta wanita hamil lapan bulan mengalami sakit perut; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah gelanggang futsal, Jalan Tanah Merah, di sini pagi tadi apabila kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Mohd Rosli Yusof menerusi kenyataan memaklumkan, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Hafiz Mahyar, 37 tahun yang beralamat di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar.

“Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, kaki kiri dan kanan. Isterinya yang juga suri rumah berusia 31 tahun pula mengalami kecederaan parah di kepala dan retak tulang pinggul.

“Manakala anak mereka yang berusia 1 tahun lapan bulan retak tempurung kepala dan patah paha kanan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu wanita yang juga pemandu kereta terbabit berusia 26 tahun dan menetap di Kampung Banggol Besi, Guar Kepayang yang hamil lapan bulan (31 minggu) pula mengalami sakit pada bahagian perut.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.