
MELBOURNE, 14 Januari – Seorang pemain tenis amatur dari Sydney, Jordan Smith mencipta kejutan apabila membawa pulang hadiah bernilai A$1 juta selepas menjuarai kejohanan khas One Point Slam menjelang Terbuka Australia, hari ini.
- Jordan Smith, pemain amatur dari Sydney, memenangi One Point Slam dan membawa pulang A$1 juta.
- Smith menewaskan pemain elit termasuk Jannik Sinner dan Amanda Anisimova sebelum final.
- Format unik: setiap perlawanan ditentukan satu mata, pemenang terus mara.
- Servis ditentukan dengan batu gunting kertas; amatur diberi dua servis, profesional satu servis.
Smith, yang layak menyertai kejohanan itu sebagai juara negeri New South Wales, menewaskan barisan pemain elit termasuk juara dua kali Terbuka Australia, Jannik Sinner serta pemain ranking keempat dunia wanita, Amanda Anisimova sebelum menundukkan Joanna Garland dari Taiwan di pentas final.
Garland, pemain ranking ke-117 dunia mara ke final selepas mengejutkan beberapa nama besar termasuk Alexander Zverev, Nick Kyrgios dan Maria Sakkari.
Kejohanan berkonsep unik itu menghimpunkan pemain amatur dan selebriti menentang 24 pemain profesional ternama, antaranya Carlos Alcaraz, Sinner dan Iga Swiatek.
Setiap perlawanan ditentukan hanya dengan satu mata, dengan pemenang mara ke pusingan seterusnya.
Penentuan siapa yang melakukan servis atau menerima pula dibuat melalui kaedah “batu, gunting, kertas”. Pemain amatur dibenarkan dua servis, manakala pemain profesional ATP dan WTA hanya diberi satu peluang.
Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian minggu pembukaan Terbuka Australia, yang akan berlangsung dari 18 Januari hingga 1 Februari di Melbourne Park. -REUTERS