
KOTA BHARU, 9 Ogos – Orang ramai di negeri ini mengambil langkah berjaga-jaga untuk melakukan sebarang aktiviti luar berikutan jangkaan sinaran matahari yang tinggi di kebanyakan kawasan negara mulai minggu depan.
- Hadkan aktiviti luar kanak-kanak dan pantau masa pendedahan mengikut keadaan cuaca.
- Perbanyakkan pemberian minuman dan pastikan anak terhidrat semasa cuaca panas.
- Elakkan aktiviti pada waktu tengah hari dan sediakan perlindungan seperti topi atau pakaian sesuai.
- Ikuti perkembangan cuaca, guna sunblock dan ambil langkah pencegahan kerana UV dijangka tinggi.
Tinjauan RTM di sekitar bandaraya ini mendapati masyarakat mengambil perhatian terhadap keadaan itu, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil dan perlu melakukan aktiviti di luar rumah.
Guru taska, Siti Shawal Mohd Norden berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana kanak-kanak antara golongan yang kerap menjalankan aktiviti di luar premis.
Katanya, aktiviti luar kanak-kanak akan dirancang mengikut keadaan cuaca bagi memastikan mereka tidak terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari.
“Apabila cuaca panas, kalau boleh kita akan hadkan aktiviti luar dan lebihkan pemberian minuman kepada anak-anak taska. Memang pihak taska akan mementingkan kesihatan anak-anak dan keadaan cuaca.”
Sementara itu, Muhammad Syamil Qayyum berkata jangkaan sinaran matahari tinggi perlu diambil serius, terutama ketika melakukan aktiviti pada waktu tengah hari.
Sebagai bapa, katanya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat perlindungan sewajarnya dan tidak terlalu lama berada di bawah cahaya matahari.
“Untuk anak saya, untuk keluar rumah itu saya akan bagi had sebab cuaca tengah panas, takut risau ada apa-apa.”
Siti Mastura Razak pula berkata orang ramai perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa sebagai persediaan sebelum melakukan aktiviti luar.
“Kalau hari itu perlu bekerja di luar, pakailah sunblock ataupun pada masa sama minum air masak yang banyak.”
Media semalam melaporkan indeks sinaran ultraungu (UV) dijangka berada pada tahap tinggi di kebanyakan kawasan di seluruh negara dalam tempoh seminggu bermula minggu depan berikutan taburan hujan yang rendah serta litupan awan yang kurang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu susulan Malaysia kini berada dalam fasa aktif Monsun Barat Daya.