
OTTAWA, 9 Ogos – Dalam tempoh 10 hari lagi, Kanada bakal berdepan tarif menyeluruh Amerika Syarikat (AS) sehingga 50 peratus ke atas beberapa import utama.
- Tarif AS menyasarkan sebahagian besar import Kanada, termasuk wain dan alat ganti kenderaan bernilai kira-kira AS$20 bilion.
- Tiada pengecualian diberikan kepada barangan yang dilindungi di bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).
- Kenaikan kos membebankan isi rumah dan perniagaan; beberapa pekerja tinggal dalam lori, perniagaan sukar mengelakkan pemindahan kos kepada pengguna.
Langkah yang akan berkuat kuasa pada 19 Ogos itu menyasarkan sebahagian besar import dari Kanada, termasuk wain dan alat ganti kenderaan bernilai kira-kira AS$20 bilion.
Tiada pengecualian diberikan kepada barangan yang dilindungi di bawah Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Dasar yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump pada 20 Julai di bawah Seksyen 338 Akta Tarif AS itu dijangka menambah tekanan kos kepada pengguna dan perniagaan.
Penganalisis memberi amaran bahawa tarif berkenaan boleh meningkatkan tekanan kos yang sudah membebankan isi rumah di Kanada.
Seorang pemandu lori Kanada berkata, kenaikan harga memaksanya meninggalkan apartmen yang didiaminya selama tujuh tahun dan kini tinggal di dalam lori.
“Harga terlalu tinggi tanpa sebab. Semuanya sudah meningkat dua atau tiga kali ganda.
“Saya baru berpindah keluar lima hari lalu supaya dapat mengurangkan tahap hutang. Sekarang saya tinggal di dalam lori,” katanya.
Tekanan sama turut dirasai sektor perniagaan apabila syarikat berusaha mengelakkan peningkatan kos daripada dipindahkan kepada pengguna.
Pengurus sebuah kelab wain, Tess Patterson berkata, keadaan semakin mencabar apabila kos terus meningkat.
“Kami benar-benar tidak mahu memindahkan kos itu kepada pengguna. Namun, apabila masa berlalu, kos itu perlahan-lahan meningkat.
“Keadaan itu menyukarkan pengguna untuk membeli dan mendapatkan produk tersebut, dan itu bukan sesuatu yang kami mahu lihat,” katanya. – REUTERS