336,669 murid Kedah terima Bantuan Awal Persekolahan

Foto RTM

ALOR SETAR, 13 Januari -Lebih RM50.5 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperuntukkan kepada seramai 336,669 murid di seluruh Kedah bagi tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih RM50.5 juta diperuntukkan bagi Bantuan Awal Persekolahan kepada 336,669 murid di Kedah tahun ini.
  • Kuala Muda penerima tertinggi (68,704 murid, RM10.3 juta); Sik penerima terendah (11,141 murid, RM1.6 juta).
  • Bantuan akan disalurkan secara berperingkat melibatkan 754 buah sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.
  • Pihak polis akan beri keutamaan kawalan keselamatan bagi memastikan proses penyerahan wang berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daerah Kuala Muda mencatat jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 68,704 murid dengan peruntukan sebanyak RM10.3 juta.

Menurut beliau, daerah Kota Setar merekodkan seramai 63,281 murid penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM9.49 juta, diikuti Kulim Bandar Baharu dengan 55,460 murid dan peruntukan sebanyak RM8.3 juta.

Sementara itu, daerah Sik mencatat jumlah penerima terendah iaitu seramai 11,141 murid dengan peruntukan berjumlah RM1.6 juta.

Beliau berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan secara berperingkat melibatkan 754 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

“Dengan jumlah sekolah, tugasan guru serta proses penyusunan program dan memberi ruang kepada ibu bapa, tempoh tersebut adalah munasabah. Saya percaya ibu bapa dan masyarakat dapat menghargai inisiatif Kerajaan MADANI ini, hasil sokongan segenap lapisan rakyat.

“Negara berada dalam keadaan aman dan stabil, maka kita dapat mengurus ekonomi dengan baik dan seterusnya memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat,” beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 di Dewan Al-Farabi, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, di sini.

Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, memandangkan jumlah besar dan pelaksanaan di seluruh Kedah, pihak polis akan memberi keutamaan bagi memastikan kawalan keselamatan khususnya terhadap pengurusan wang dan keseluruhan perjalanan proses penyerahan wang tersebut berjalan lancar.

Turut hadir pada majlis itu ialah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat dan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.

Sementara itu, rata-rata penerima yang ditemui menyuarakan kegembiraan dan menyambut baik dengan pemberian BAP.

“Duit ini digunakan untuk membeli barangan sekolah yang masih tidak mencukupi. Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana beri sumbangan ini,” pelajar SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Mohd Arif Hakimi Mohd Zamil.

“Terima kasih kerajaan memberi bantuan ini. Ia sangat membantu saya membeli perlatan sekolah seperti, alat-alat tulis dan sebagainya,” murid SJK (T) Barathy, Alor Setar, Narshana Theventhiran.