Bekas PTD mohon bersara awal mulai 1 Januari

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 JANUARIBekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, memohon bersara awal daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia pada 1 Januari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan bersara awal disampaikan melalui peguam bagi membolehkan pelantikan calon baharu PAT.
  • Permohonan berkuat kuasa 1 Januari dan membolehkan pihak berkuasa memulakan proses pengganti.
  • Keputusan pelantikan beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera sebelum ini telah ditangguhkan.
  • Jawatan Panglima Angkatan Tentera kini kosong dan dipangku oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan hasrat berkenaan disampaikan melalui peguam Tan Sri Muhammad Hafizuddeain bagi membolehkan Majlis Angkatan Tentera melantik calon baharu bagi jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT).

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada peguam Tan Sri Hafizuddeain Jantan, bekas Panglima Angkatan Tentera Darat yang kini bercuti, mengenai hasrat beliau untuk bersara awal daripada perkhidmatan Angkatan Tentera berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Dengan permohonan bersara awal ini, ia membolehkan pihak berkuasa memulakan proses bagi mencari pengganti beliau.

“Seperti yang diketahui, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini telah membuat keputusan untuk melantik beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera, namun keputusan berkenaan telah ditangguhkan,” katanya kepada media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di sini, hari ini.

Tambahnya, jawatan Panglima Angkatan Tentera kini secara rasmi kosong dan sedang dipangku oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.