
ARAU, 8 Januari – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis termasuk Menteri Besar mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu di Bilik Hijau Istana Arau, di sini.
- Lima ADUN Perlis termasuk Menteri Besar mengangkat sumpah sebagai EXCO negeri di Istana Arau.
- Majlis berlangsung selepas penerimaan watikah pelantikan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin.
- Abu Bakar pegang portfolio luas termasuk Pentadbiran, Kewangan, Pelancongan, Infrastruktur dan Keselamatan.
- Izizam Ibrahim bertanggungjawab Hal Ehwal Agama, Perumahan, Kepenggunaan dan Sumber Manusia.
- Marzita, Megat Hashirat dan Wan Zikri pegang portfolio sosial, pertanian, kesihatan, belia, sains dan digital.
Majlis angkat sumpah membabitkan ADUN dari Parti Bersatu (BERSATU) itu berlangsung pada pukul 11:20 pagi di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, selepas masing-masing menerima watikah pelantikan daripada baginda.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Mendahului senarai istiadat mengangkat sumpah ialah Abu Bakar yang turut memegang portfolio Pentadbiran dan Kewangan, Pelaburan dan Ekonomi, Tanah dan Sumber, Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar, serta Keselamatan dan Hubungan Sempadan.
Manakala ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim memegang portfolio Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan serta Sumber Manusia dan Modal Insan.
ADUN Sena Datin Marzita Mansor memegang Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan serta Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan.
Tuan Megat Hashirat Hassan (ADUN Pauh) ditugaskan memimpin portfolio Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar.
Manakala ADUN Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak memegang portfolio Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan serta Sains,Teknologi dan Inovasi.