Penempatan semula pengimbas berteknologi tinggi di KLIA T1, perkukuh keselamatan

SEPANG, 2 Januari – Penempatan semula mesin pengimbas berteknologi tinggi di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bermula semalam (Khamis), berjaya melancarkan pergerakan penumpang selain meningkatkan tahap keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penempatan semula 60 lebih mesin pengimbas di pintu pelepasan KLIA T1 mempercepatkan pergerakan penumpang, kurangkan masa menunggu 5–8 minit.
  • Saringan tunggal dikendalikan AVSEC di pintu pelepasan menggantikan pemeriksaan di jambatan penghubung, kurangkan kesesakan terutama waktu puncak.
  • Kerjasama JKDM dan AVSEC perkasakan pengimbasan berdasarkan penilaian risiko, risikan dan analisis trend untuk kawalan lebih berkesan.
  • Langkah ini bantu turunkan kes penyeludupan dadah dan rai penghargaan antarabangsa, sejajar tingkatkan keselamatan negara.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa penumpang, malah mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

Penumpang kini hanya perlu melalui satu saringan keselamatan di pintu pelepasan yang dikendalikan Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, tanpa perlu lagi pemeriksaan di jambatan penghubung.

“Hasil kerjasama erat antara JKDM dan AVSEC Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd., pendekatan pengimbasan dan pemantauan berasaskan penilaian risiko, risikan serta analisis trend telah diperkasakan.

“Usaha ini membuahkan hasil positif apabila kes penyeludupan dadah mencatatkan penurunan ketara dari Disember 2023 hingga Disember 2025. Malah, JKDM turut menerima surat penghargaan daripada Kastam Korea atas keberkesanan langkah-langkah yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi bersama media di KLIA Terminal 1 hari ini.

Sekiranya pengimbasan mengesan sebarang unsur mencurigakan termasuk dadah, mata wang tunai atau barangan larangan, penumpang dan barangan terlibat akan diserahkan kepada JKDM serta agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, lebih 60 mesin pengimbas berteknologi tinggi kini ditempatkan di pintu pelepasan antarabangsa KLIA Terminal 1, sekali gus berjaya mengurangkan masa menunggu antara lima hingga lapan minit.

Penambahbaikan itu selaras usaha kerajaan dalam meningkatkan keselamatan negara serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan