22 penduduk Desa KEDA terima geran hak milik selepas 30 tahun

BANDAR BAHARU, 17 Oktober- Penantian hampir tiga dekad 22 penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Buluh dan Desa KEDA Sungai Kechil Ilir di daerah Bandar Baharu untuk memiliki geran hak milik berakhir apabila mereka menerima dokumen tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyerahan geran hak milik kepada 22 penduduk Desa KEDA Zon 9 selepas hampir 30 tahun menunggu.
  • Majlis disempurnakan oleh Datuk Muhar Hussain di Dewan Desa KEDA Sungai Tengas.
  • Datuk Muhar menasihati penerima supaya menjaga rumah dan tanah dengan penuh tanggungjawab.
  • Rojani Romeli memberi taklimat mengenai tanggungjawab dan prosedur pengurusan geran tanah.
  • Inisiatif KEDA memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar dan memperkasa pemilikan aset sah.

Penyerahan geran disempurnakan oleh Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Muhar Hussain pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Penduduk Desa-Desa KEDA Zon 9, daerah Bandar Baharu yang berlangsung di Dewan Desa KEDA Sungai Tengas.

Dalam ucapannya, Datuk Muhar menasihati penerima agar menjaga rumah dan tanah yang dimiliki dengan penuh tanggungjawab serta menghargai usaha KEDA dalam membantu masyarakat luar bandar memiliki aset sendiri.

Beliau berkata, pemilikan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga tetapi turut menjadi asas penting dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti desa.

Pada majlis itu, Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasarana KEDA, Rojani Romeli turut menyampaikan taklimat mengenai tanggungjawab dan prosedur pemilikan geran tanah bagi memastikan pengurusan aset dilakukan secara teratur serta mengikut peraturan.

Majlis berkenaan dilihat mencapai objektif dalam memperkukuh kesejahteraan penduduk dan mengiktiraf peranan KEDA dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pemilikan aset sah dan bernilai, selaras aspirasi kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar.