Kes Denggi di Bangladesh semakin parah

DHAKA, 15 Oktober – Kes denggi di Bangladesh kini semakin membimbangkan apabila jumlah jangkitan dan kematian meningkat secara mendadak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital di Dhaka sesak dengan pesakit denggi, wad penuh hingga ke koridor, terutama kanak-kanak.
  • Pakar amarkan wabak mungkin jadi kritikal bulan ini disebabkan faktor cuaca dan kelemahan kawalan tempatan.
  • Usaha membanteras pembiakan nyamuk terjejas oleh hujan tidak menentu, cuti panjang dan tindakan pihak berkuasa yang lemah.

Menurut pegawai kesihatan, kebanyakan hospital di Dhaka dilaporkan sesak dengan pesakit, termasuk kanak-kanak yang menerima rawatan akibat jangkitan virus bawaan nyamuk itu.

Antara pusat rawatan utama denggi di Dhaka iaitu Hospital Kolej Perubatan Mugda, wad khas denggi dipenuhi pesakit sehingga ke koridor akibat kekurangan ruang.

Rekod hospital menunjukkan kira-kira 15 peratus daripada lebih 1,200 pesakit yang dirawat di fasiliti merupakan pesakit denggi, kebanyakannya kanak-kanak.

Pakar entomologi dari Universiti Jahangirnagar, Profesor Kabirul Bashar, memberi amaran wabak tersebut boleh menjadi kritikal pada bulan ini.

“Wabak itu dipengaruhi oleh perubahan iklim, hujan tidak menentu, cuti panjang, dan kelemahan tindakan pihak berkuasa tempatan yang menjejaskan usaha membanteras pembiakan nyamuk. ” katanya.

Menurut Direktorat Perkhidmatan Kesihatan lebih 50,000 kes denggi dan 215 kematian telah direkodkan di seluruh negara dalam minggu pertama Oktober. -REUTERS