Bukan pelancong tulen, 12 warga asing gagal masuk Malaysia

BUKIT KAYU HITAM, 12 Oktober – Seramai 12 warga asing daripada pelbagai negara telah ditolak daripada memasuki Malaysia selepas dianggap bukan pelancong tulen.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 warga asing ditolak masuk Malaysia kerana disyaki bukan pelancong tulen.
  • Tindakan dibuat oleh AKPS Bukit Kayu Hitam di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
  • Identiti termasuk warga Thailand, India dan Myanmar, usia lingkungan 30-an hingga 40-an.
  • Mereka tidak memenuhi syarat kemasukan dan diarah berpatah balik ke negara asal.
  • Langkah itu menegaskan komitmen AKPS mengekalkan keselamatan dan integriti sempadan.

Tindakan itu dilakukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir, berkata warga asing terbabit terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita warga Thailand, tiga lelaki warga India serta seorang lelaki warga Myanmar.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa AKPS mendapati semua individu berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia. Malah, mereka juga berkemungkinan bukan pelancong tulen.

“Kesemua individu berkenaan telah diarah berpatah balik ke negara asal masing-masing melalui laluan masuk yang sama,” katanya menerusi kenyataan.

Tegas beliau, tindakan itu membuktikan komitmen berterusan AKPS Bukit Kayu Hitam dalam memastikan keselamatan serta integriti sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman penyalahgunaan kemasukan warga asing.