fb fb fb fb fb

Zverev yakin pulih mental, sasar kejayaan di Terbuka Amerika Syarikat

Pemain tenis Jerman, Alexander Zverev, menjadi tumpuan lensa kamera ketika menghadiri sesi bersama media. Beliau kini antara nama besar yang terus mencuri perhatian peminat tenis dunia menjelang kejohanan utama musim ini. Foto- AFP

NEW YORK, 23 Ogos - Pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev, yakin berada pada landasan tepat menjelang Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat selepas mengharungi tempoh sukar akibat masalah kesihatan mental.

Zverev sebelum ini mendedahkan dirinya berasa sunyi, kosong dan hilang semangat untuk melakukan apa sahaja ketika tersingkir seawal pusingan pertama di Wimbledon Julai lalu.

Namun, pemain berusia 28 tahun dari Jerman itu berkata, beliau kini kembali bersemangat selepas bercuti panjang bersama rakan-rakan serta mendapatkan bantuan profesional.

“Oh, saya rasa jauh lebih baik. Selepas Wimbledon, saya letak raket dan bercuti panjang. Saya keluar bersama rakan-rakan, tidak berlatih, tidak bermain tenis, malah tidak buat apa yang biasa saya lakukan. Saya habiskan masa dengan rakan-rakan dan juga mendapatkan bantuan profesional yang masih saya teruskan hingga kini. Ya, saya berada di landasan yang betul,” katanya.

Zverev menambah beliau dapat merasai perbezaan apabila kembali beraksi pada Masters Toronto dan Terbuka Cincinnati, dengan mara sehingga ke separuh akhir kedua-dua kejohanan itu.

“Saya benar-benar menikmati dua kejohanan terakhir. Saya sangat gembira kembali di gelanggang tenis. Saya rasa segalanya sedang berjalan ke arah yang betul dan saya gembira berada di sini sekarang,” katanya.

Zverev masih memburu gelaran Grand Slam pertama selepas tewas dalam tiga perlawanan akhir, termasuk kekalahan kepada Dominic Thiem di Terbuka Amerika Syarikat 2020, Carlos Alcaraz di Roland Garros 2024 dan Jannik Sinner pada Terbuka Australia tahun ini.

Beliau mengakui pencapaian itu mendorongnya untuk terus mencari formula menewaskan pemain terbaik dunia.

“Saya mencari langkah terakhir itu. Saya mahu mengangkat satu daripada trofi tersebut di atas kepala saya. Itu yang saya mahukan,” katanya.

Bagi tujuan itu, Zverev turut mendapatkan khidmat legenda Sepanyol, Rafael Nadal dan Toni Nadal, selepas kekecewaan di Wimbledon.

“Ia tentang mencari cara untuk menewaskan pemain terbaik dunia. Ia tentang menemui corak dan latihan yang betul untuk melakukannya. Sebab itulah saya pergi berjumpa Toni dan Rafa, kerana saya mahu mendengar pandangan baharu mengenai bagaimana mereka melihat tenis dan bagaimana mereka melihat permainan saya. Saya rasa dalam tenis, semua orang sentiasa boleh memperbaiki diri. Ia semudah itu,” katanya.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN