fb fb fb fb fb

Kelantan Red Warrior lengkapkan senarai 16 pasukan dalam saingan Piala Malaysia

Foto FB Malaysian Football League

KUALA LUMPUR, 31 Disember - Kelantan Red Warrior FC melengkapkan senarai 16 pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2025-2026.

Ia selepas Kedah FA dan Armed Forces FC membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan berprestij itu pada musim ini.

Dalam satu kenyataan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini memaklumkan pemilihan Kelantan Red Warrior dibuat berdasarkan kedudukan pasukan tersebut dalam saingan Liga A1 Semi Pro, yang menyaksikan kelab itu kini berada di tangga ketujuh daripada 16 pasukan.

“Meskipun Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC II berada dalam kelompok tiga teratas Liga A1 Semi Pro, kedua-dua pasukan itu tidak layak menyertai kejohanan ini selaras dengan peraturan yang tidak membenarkan pasukan simpanan beraksi dalam pertandingan sama dengan kelab induk masing-masing.

“Sebanyak 16 kelab akan berentap merebut kejuaraan Piala Malaysia 2025-2026 termasuk penyertaan tiga pasukan daripada Liga A1 Semi Pro, iaitu Kelantan Red Warrior FC, Perak FA dan UM-Damansara United,” menurut kenyataan tersebut.

3112 SKN KELANTAN TRW PIALA MALAYSIA2
Foto FB Kelantan Red Warrior FC

Dalam pada itu, MFL memaklumkan kejohanan tersebut akan bermula daripada peringkat pusingan 16 terbaik, dengan lapan pasukan teratas Liga Super ketika ini layak secara automatik sebagai pasukan pilihan.

Pasukan tersebut adalah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, DPMM FC dan Sabah FC.

Manakala lima pasukan Liga Super di kedudukan kesembilan hingga ke-13 iaitu Imigresen FC, Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC, Melaka FC dan PDRM FC akan diundi bersama tiga pasukan Liga A1 Semi Pro bagi menentukan pertemuan menentang pasukan pilihan.

Mengikut perancangan awal, perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia dijangka bermula pada 17 Januari 2026, tertakluk kepada sebarang perubahan dengan perlawanan akhir disasarkan berlangsung pada Mei.

Pasukan yang gagal mara ke peringkat suku akhir akan meneruskan cabaran dalam saingan MFL Challenge Cup 2025-2026 dan undian Piala Malaysia 2025-2026 dijadual berlangsung pada Jumaat, 2 Januari ini.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN