MANCHESTER, 31 Disember - Pengurus Manchester United, Ruben Amorim kekal optimis mengenai prospek pasukannya musim ini meskipun menamatkan tahun 2025 dengan keputusan seri 1-1 menentang Wolves di Old Trafford.
United membuka jaringan menerusi Joshua Zirkzee, namun Ladislav Krejci memastikan keputusan seri buat Wolves yang muncul dengan hanya tiga mata selepas 11 kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kedua-dua pasukan berdepan ketiadaan beberapa pemain penting, dengan United kekal di kedudukan keenam liga, hanya dua mata di belakang juara bertahan Liverpool dalam perebutan tempat automatik ke Liga Juara-Juara.
Amorim menegaskan beliau yakin dengan kekuatan pasukan sebaik pemain-pemain cedera kembali cergas.
"Saya benar-benar yakin. Kita hanya perlu memulihkan semua pemain, dan saya yakin kita akan menjadi pasukan yang kuat. Tiada keraguan dalam fikiran saya," katanya.
Mengulas mengenai perlawanan seterusnya menentang Leeds United pada Ahad, Amorim berkata beliau tidak akan mengambil risiko terhadap pemain yang masih berdepan isu kecederaan.
Amorim juga menjelaskan pertukaran Zirkzee pada separuh masa pertama adalah keputusan taktikal bagi memberikan keseimbangan yang lebih baik kepada pasukannya.
Dalam pada itu, pengurus Wolves, Rob Edwards menyifatkan keputusan seri itu sebagai satu peningkatan penting buat pasukannya sejak mengambil alih jawatan, sambil memberi pujian kepada prestasi pemainnya. -AFP
